Rizanizam Abdul Hamid


MASUK hari keempat berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zailani dilihat lebih ‘berdikari’ untuk menjawab pelbagai soalan media secara spontan tanpa memerlukan ‘talian hayat’ daripada jentera parti.

Keadaan itu jauh berbeza berbanding beberapa hari lalu apabila Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Hulu Langat itu terpaksa dibantu ahli parti lebih senior untuk menjawab soalan ‘pedas’ petugas media.

Bagaimanapun beliau ketika dihampiri media selepas siri kempen beramah mesra di beberapa rumah penduduk di Kampung Sentosa, Hulu Langat, hari ini dibiarkan ‘berdikari’ menjawab hampir 10 soalan daripada media.

Biarpun ada beberapa ketika beliau terdiam seolah-olah hilang kata untuk diungkapkan kepada media, beberapa pegawai kempen pilihan rayanya hanya membiarkan Muhammad Aiman menjawab sendiri soalan itu.

Zakaria ketika diumumkan pemenang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih di pusat penjumlahan undi PRK N24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Kajang. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Zakaria ketika diumumkan pemenang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih di pusat penjumlahan undi PRK N24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Kajang. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Walaupun diasak dengan pelbagai soalan ‘panas’ dalam tempoh hampir lapan minit itu, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih itu berusaha untuk menjawab semua soalan media.

Menjawab soalan media bagaimanakah beliau akan memperbaiki kualiti bahan kempen untuk meraih undi yang dilihat masih hambar setakat ini, Muhammad Aiman berkata beliau akan memperbaikinya.

“Saya akan lebih fokus terhadap isu tempatan dalam kempen dan ceramah umum selain tidak akan menggunakan isu peribadi pihak lawan untuk meraih undi.

“Selain itu, isteri, Nurul Filzah Bakhtiar ada membantu menyuarakan pandangan selain maklumat diperlukan sepanjang kempen,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 8:41 PM