SEBAHAGIAN daripada 60 penumpang yang terkandas di tengah laut selepas feri dinaiki mengalami kerosakan enjin di perairan Kuala Kedah, malam ini. FOTO Ihsan ZAINUDIN AHMAD.
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


SERAMAI 60 penumpang termasuk 10 kanak-kanak terkandas kira-kira sejam di tengah laut apabila feri dinaiki mengalami kerosakan enjin di perairan Kuala Kedah, malam ini.

Dalam kejadian 7.45 malam, feri dua tingkat berlepas pada 7.30 malam dari jeti Kuala Kedah menuju ke Langkawi.

Penumpang, Zainudin Ahmad, 46, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba selepas 15 minit feri berlepas dari jeti.

“Sepatutnya kami berlepas pada 7 malam dengan feri lain, sebelum pihak pengurusan feri mengarahkan kami menaiki feri ini.

“Ketika belayar, enjin feri tiba-tiba berhenti dan serentak itu lampu padam serta penghawa dingin terhenti," katanya ketika dihubungi di Langkawi.

Zainudin berkata, keadaan dalam feri tenang dan terkawal walaupun ada kanak-kanak yang menangis kepanasan dan keadaan gelap.

Menurutnya, turut berada dalam feri itu ialah pelancong asing yang mahu bercuti di Langkawi.

"Selepas kira-kira sejam terkandas, feri rosak itu ditunda balik ke jeti Kuala Kedah.

“Kru kemudian memaklumkan sebuah feri gantian disediakan untuk kami belayar ke Langkawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 9:07 PM