Rumah yang dipecah masuk lelaki terbabit. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


LELAKI berusia 37 tahun ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah Sabtu lalu.

Lelaki yang juga penduduk kampung sama ditahan polis, Sabtu lalu selepas menerima aduan daripada penduduk yang curiga melihat lelaki itu berada dalam rumah jirannya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, suspek ditahan di tepi Jalan Melaka Pindah pada 1.45 tengah hari selepas polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan dibuat orang awam.

“Bilik gerakan IPD Alor Gajah menerima panggilan menerusi MERS 999 pada 2.30 petang apabila pengadu menyatakan rumah jirannya dimasuki suspek lalu anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) berkejar ke tempat kejadian.

“Siasatan awal di lokasi kejadian iaitu rumah lot terbabit mendapati, tiada rakaman kamera litar tertutup, namun saksi iaitu jiran rumah yang dipecah masuk memberitahu nampak suspek berada dalam rumah itu.

“Rumah yang dipecah masuk itu tidak berpenghuni sejak dua tahun lalu selepas pemiliknya berpindah ke Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang dibuat orang awam, pengadu baru pulang dari kedai dipanggil kakaknya yang memberitahu seseorang berada dalam rumah terbabit.

Pengadu kemudian mengintai dari tingkap ruang tamu dan melihat kelibat suspek yang dikenalinya, lalu merakam video menggunakan telefon bimbit sebelum menghubungi talian 999.

Asmadi berkata, suspek ditahan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula Ahad lalu hingga esok.

Asmadi berkata, suspek dikesan positif dadah Methamphetamine dan mempunyai satu rekod dikehendaki selain pernah dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Akta Penagihan Dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 10:26 PM