Muhamaad Razis Ismail


“SAYA dinasihatkan tidak beri apa-apa komen,” kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa selepas selesai memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Reaksi itu diberikan Husam bagi menjelaskan nasihat SPRM kepada beliau selepas hampir satu jam setengah memberi keterangan suruhanjaya itu.

“Saya dinasihatkan SPRM untuk tidak berikan sebarang komen.

“Bagi dia (SPRM) selesaikan,” kata Husam ringkas.

Husam dilihat keluar dengan menaiki kenderaan pelbagai guna MPV putih Toyota Innova, kira-kira 11.10 malam.

Ditanya lebih lanjut, Husam mengesahkan dia dipanggil memberi keterangan berkaitan dakwaan PAS yang didakwa menerima dana menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Husam keluar dari pejabat SPRM Kelantan selepas memberi keterangan mengenai dana berkaitan 1MDB. FOTO Zaman Huri Isa

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di pejabat SPRM Kelantan, pada pada 8 Februari bagi memberi kenyataan berhubung siasatan PAS yang didakwa menerima wang RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Bachok itu yang memakai baju kurta berwarna putih dan berkopiah tiba pada 10.20 pagi, sebelum diiringi masuk tiga pegawai SPRM.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok antara empat individu dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS yang didakwa menerima RM90 juta dikatakan dari 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 11:37 PM