Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


RIBUAN naskhah al-Quran bernilai RM502,800 yang cuba diseludup masuk menggunakan kontena di Pelabuhan Utara, Klang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN), kelmarin.

Difahamkan, kitab suci dari Indonesia itu diseludup bagi pasaran tempatan dan dijual secara atas talian berikutan menerima permintaan tinggi terutama menjelang Ramadan.

Namun, al-Quran berkenaan tidak diisytiharkan dalam dokumen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan tiada memperoleh kebenaran mengimport daripada Lembaga Pengawalan, Pelesenan dan Pencetakan Teks al-Quran (LPPPQ).

Perkara itu dibongkar Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN Selangor yang bertindak merampas semua al-Quran berkenaan untuk tindakan lanjut.

Pengarahnya, Feisal Mohd Ali berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada JKDM berkaitan satu kontena yang turut mengandungi kitab suci itu pada 2 petang Isnin lalu.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan 10 pegawai dan anggota kami bergegas ke pelabuhan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

“Ia membawa kepada penemuan sebanyak 192 kotak mengandungi 5,050 naskhah al-Quran bersaiz kecil dan besar dianggarkan bernilai RM502,800.

“Semua kitab suci itu berasal dari Indonesia dan membabitkan empat jenis terbitan,” katanya pada sidang media di Pejabat PKK KDN Cawangan Pelabuhan Klang di Bandar Bukit Tinggi, Klang, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 (1) dan Seksyen 8 Akta Percetakan al-Quran (APTQ) 1986 kerana mengimport teks al-Quran tanpa kebenaran LPPPQ serta tidak mengandungi maklumat ditetapkan.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pemilik sebenar dan pengimport semua al-Quran itu bagi membantu siasatan.

“Kandungan al-Quran itu dikhuatiri menyalahi sama ada daripada segi ayat dan baris sehingga boleh menyebabkan umat Islam salah membaca serta menyimpang daripada maksudnya.

“Al-Quran itu mempunyai kandungan turut dieja dalam tulisan rumi sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci dalam tulisan berkenaan.

“Kami dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mendapati ia tidak mengikut konsep resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di pejabat pos, pusat kurier dan premis menjual teks al-Quran di negeri ini.

“Orang ramai boleh melihat sama ada al-Quran yang dibeli itu mendapat kelulusan atau sebaliknya menerusi cop dan hologram KDN. Jangan beli sekiranya ia tiada kelulusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 3:47 PM
FEISAL (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 5,050 nashkah al-Quran dari Indonesia yang dirampas pada sidang media di Pejabat Cawangan KDN Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.