Laporan dalam portal berita Harian Metro semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


“ALHAMDULILLAH, segala urusan pembedahan anak dipermudahkan dengan bantuan semua pihak terutama Hospital Sungai Buloh dan Lembaga Zakat Selangor yang menanggung kos perubatan Azalea,” kata Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 43, ibu kepada Azalea Hani Abdul Rahim, 5.

Dalam kejadian 7 Februari lalu, Azalea Hani melecur seluruh badan selepas tersimbah sambal popia basah di rumah ibu saudaranya di Bandar Tasik Puteri, Rawang jam 8 malam.

Zalida berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan kepadanya selepas kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu dilaporkan Harian Metro, semalam.

“Sejak laporan disiarkan di Harian Metro semalam hingga hari ini, tidak putus-putus bantuan disalurkan ke akaun saya dan jumlah diperlukan bagi pembedahan esok sudah mencukupi.

“Pada masa sama, saya berterima kasih kepada Hospital Sungai Buloh dan Lembaga Zakat Selangor atas bantuan diberikan.

“Saya juga berterima kasih kepada kakitangan Hospital Sungai Buloh yang memberikan kerjasama dan menjaga anak dengan baik sepanjang lebih dua minggu dirawat di hospital itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya Pangsapuri Sri Kayangan di Ukay Perdana, Ampang hari ini.

Dia yang juga kakitangan swasta memaklumkan anaknya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terbabit dan dilaporkan dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

“Saya mohon orang ramai mendoakan kesihatan anak saya supaya dia kembali sihat seperti biasa dan pembedahan esok berjalan lancar.

“Saya bersyukur kerana bantuan komuniti Pangsapuri Sri Kayangan dan ahli jawatankuasa Masjid Ukay Perdana kerana tidak putus-putus memberi perhatian kepada kami sekeluarga,” katanya.

Berita berkaitan

Melecur 'bermandikan' sambal popia mendidih

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 7:24 PM