Skip this ad x
PENGUSAHA sarang burung walit Perak bergambar selepas Majlis Dialog bersama polis IPK Perak. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop


PENGUSAHA burung walit di negeri ini perlu menjalin kerjasama lebih erat dengan polis termasuk mewujudkan kumpulan aplikasi WhatsApp bersama ketua balai bagi mengatasi kejadian kecurian di premis mereka.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kerjasama itu diyakini mampu mengekang berlakunya kecurian di premis sarang burung walit di kawasan pedalaman.

Menurutnya, pengusaha perlu sentiasa mengadakan perjumpaan dengan pihak polis bagi memaklumkan lokasi premis mereka, sekali gus membolehkan pemantauan dijalankan.

“Polis tidak tahu di mana premis mereka ini, jadi merekalah kena datang untuk berjumpa dengan polis dan beritahu lokasinya.

“Jika tidak, polis sukar menjalankan pemantauan kerana lokasi dan maklumat tidak diperoleh dengan tepat. Saya harap hubungan dengan polis dapat terus dipertingkatkan,” katanya yang ditemui selepas Majlis Dialog Pengusaha-Pengusaha Sarang Burung Walit Perak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh, hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Asisten Komisioner VR Ravi Chandran dan Timbalan JPJKK Perak, Asisten Komisioner Ng Kong Soon.

Terdahulu, seramai 40 pengusaha daripada sembilan persatuan burung walit dari seluruh negeri hadir pada sesi dialog berkenaan bagi mencari penyelesaian dan berkongsi pendapat mengenai masalah kecurian di premis mereka.

Selain daripada cadangan mewujudkan kumpulan WhatsApp dengan ketua balai, polis turut memberikan 14 cadangan kepada pengusaha burung walit bagi membolehkan kejadian kecurian dapat dielak dan dikurangkan.

Antara cadangan itu adalah rondaan pengusaha bersama anggota polis, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta penggera keselamatan, pemasangan kawat berduri, menempatkan pekerja untuk mengawal serta menambahkan pencahayaan.

Mohamad berkata, statistik menunjukkan jumlah tangkapan dilakukan membabitkan kecurian di premis burung walit di negeri ini adalah 57 kes sepanjang tahun lalu manakala jumlah premis sarang burung sehingga tahun ini adalah sebanyak 694 lokasi.

Katanya, pihaknya akan mengadakan satu lagi perjumpaan selepas ini bagi melihat keberkesanan terhadap cadangan diberikan dalam perjumpaan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:33 PM