KEADAAN rumah yang dihempap pokok kelapa tumbang. FOTO Ihsan Pembaca
Muhammad Apendy Issahak


EMPAT termasuk seorang remaja dan dua kanak-kanak cedera selepas kediaman mereka dihempap pokok kelapa yang tumbang di Kampung Jawa, Batu Masjid, Temoh, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 7.51 malam.

Sebaik tiba di lokasi didapati sebatang pokok kelapa menghempap sebuah rumah.

Menurutnya, ketika kejadian terdapat lima sekeluarga dalam rumah berkenaan, iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa, manakala tiga lagi mangsa adalah remaja perempuan berusia 13 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 2 tahun.

“Lelaki dewasa tidak mengalami kecederaan, manakala wanita dewasa pula cedera di bahagian kaki dan ketiga-tiga mangsa lain turut mengalami kecederaan.

“Keempat-empat mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya hari ini.

Menurutnya, bomba kemudian memotong pokok tumbang terbabit dengan menggunakan dua mesin gergaji berantai sehingga operasi selesai sepenuhnya.

“Operasi yang tamat jam 9.07 malam diketuai Mohd Saiful Hanif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 11:17 PM