Kereta milik Rahmad yang disimbah cat minyak di luar Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Kampung Rinching. FOTO Ihsan Rahmad Musa
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


KERETA Mercedes Benz E200 milik pembantu kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih disimbah cat minyak oleh individu tidak bertanggungjawab dalam kejadian berhampiran Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Kampung Rinching, kira-kira 10 malam tadi.

Dalam kejadian itu, kenderaan milik Rahmad Musa, yang juga pembantu kepada Zakaria Hanafi disimbah cat minyak pada bahagian cermin serta bonet hadapan.

Rahmad ketika dihubungi berkata, dia baru sahaja tiba di lokasi itu tidak sampai 15 minit dengan membawa Zakaria bagi melihat tugas dijalankan jentera BN di situ sebelum menyedari kenderaannya diselaputi cecair yang melekat pada bahagian cermin depan dan bonet hadapan.

Menurutnya, sebaik diamati, cecair itu adalah cat minyak berwarna biru dan dipercayai disimbah oleh individu menaiki kereta sedan yang tidak dikenal pasti modelnya.

Katanya, kereta itu diparkir pada bahu jalan di luar bilik gerakan berkenaan dan di belakangnya ada dua lagi kenderaan pacuan empat roda milik jentera BN.

“Dalam dua pacuan empat roda itu, ada pemandu yang menunggu di dalamnya dan mereka memaklumkan melihat sebuah kereta sedan berwarna merah melalui jalan berkenaan membuat pusingan U.

“Kenderaan itu menyalakan lampu tinggi dan berlalu pergi sebaik melintasi kenderaan mereka.

“Jadi, kami mengesyaki individu dalam kenderaan yang tidak dikenal pasti modelnya itu yang menyimbah cat minyak berkenaan,” katanya.

Rahmad berkata, bagi mengelak cat berkenaan merosakkan kenderaannya, dia bersama petugas di bilik gerakan berkenaan terus mencuci cecair berkenaan.

“Bagaimanapun, saya sudah pun mengambil gambar sertai video bagi membuktikan kereta saya disimbah cat minyak berwarna biru oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Rahmad, pihaknya akan membuat laporan polis susulan kejadian berkenaan bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Berita berkaitan:

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 12:10 AM