PESAKIT dibawa dari HL ke HRPB, Ipoh semalam. FOTO Ihsan Hospital Langkawi
Hamzah Osman


KANAK-kanak perempuan berusia enam tahun yang mengalami sawan dan sesak nafas serius diterbangkan dari Hospital Langkawi (HL) ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, semalam.

Helikopter berlepas dari HL pada jam 10 pagi itu tiba di padang bola Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh dengan mengambil masa perjalanan kira-kira satu jam 15 minit.

Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke HRPB dengan ambulans.

Sepanjang penerbangan, kanak-kanak terbabit diiringi Pegawai Perubatan Pediatrik HL, Dr Siti Salma Mohd Shahidi dan jururawat, Ramlah Ramli serta ibunya.

Helikopter jenis Airbus H135 9M-DRA yang diubah suai sebagai ambulans udara atau dikenali Medical Evacuation (MedEvac) itu diterbangkan oleh Kapten Junaidy Ismail.

Pengarah HL, Dr Mansor Ismail berkata, kanak-kanak terbabit yang dimasukkan ke wad HL pada Rabu memerlukan rawatan segera dan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik di hospital itu.

“Kita terbangkan kanak-kanak terbabit ke HRPB kerana di sana ada kemudahan lebih lengkap di ICU Pediatrik bagi merawat penyakit yang dihidapinya.

“Ini adalah penerbangan sulung MedEvac dari HL ke HRPB, walaupun sebelum ini perkhidmatan sama digunakan menghantar pesakit ke beberapa hospital utama di tanah daratan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mansor berkata, perkhidmatan itu dapat menjimatkan masa pembabitan anggota hospital dalam penghantaran pesakit yang memerlukan rawatan segera di hospital berada jauh dari Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:36 AM