GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana


PEMILIK kedai runcit di Penampang ditahan selepas dipercayai mencabul pekerja perempuannya berusia 14 tahun semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa yang baru tiga hari bekerja dikatakan sedang membersihkan bilik stor di kedai runcit berkenaan.

Lelaki warga Pakistan itu kemudian mendekati mangsa lalu memeluk mangsa dari arah belakang dan mencabulnya.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berdasarkan laporan itu, sepasukan polis bertindak menahan suspek yang juga pemilik kedai runcit itu.

“Suspek berusia 20 tahun ditahan kerana didakwa mencabul remaja perempuan yang juga pekerjanya.

“Suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, polis turut menahan pengawal keselamatan kerana didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun.

“Suspek lelaki berusia 19 tahun ditahan susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa selepas mendapati suspek berada di bilik tidur anaknya (mangsa).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 3:10 PM