MUHYIDDIN (kanan) dan Muhammad Aiman (tengah0 bersalaman bersama jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Batu 3. FOTO Asyraf Hamzah
MUHYIDDIN (kanan) dan Muhammad Aiman (tengah0 bersalaman bersama jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Batu 3. FOTO Asyraf Hamzah
Rizanizam Abdul Hamid


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menyerahkan beberapa nama bagi mengisi jawatan Ketua Polis Negara (KPN) dan timbalannya yang baharu kepada Perdana Menteri dalam tempoh sehari dua ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau sudah menyenaraikan beberapa nama namun sebarang perubahan atau pindaan terserah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mungkin kalau saya dapat ketentuan masa dalam sehari dua ini saya nak cadangkan beberapa nama kepada Perdana Menteri.

“Saya tak nak letak banyak sangat (nama) tapi apa pun dalam peraturan dalam Perlembagaan Persekutuan perkara ini akan diangkat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya hanya mengangkat cadangan sahaja jadi mungkin ada perubahan atau pindaan Itu terserah pada Tun (Dr Mahathir) dan akhirnya pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Kampung Batu 3 di Hulu Langat, hari ini.

Hadir sama calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali.

Pada 4 September 2017, Datuk Seri (kini Tan Sri) Mohamad Fuzi Harun,

yang sebelum itu memegang jawatan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, dilantik menjadi KPN menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara secara rasmi.

Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pula dilantik sebagai Timbalan KPN pada 1 Disember 2014.

Sebelum ini Noor Rashid dan Mohamad Fuzi masing-masing dilaporkan akan bersara wajib Mac dan Mei tahun lalu, namun tempoh perkhidmatannya disambung setahun lagi.

Ditanya apakah kemungkinan kontrak mereka akan disambung, Muhyiddin enggan mengulas lanjut.

“Itu (sambung kontrak) tak payah sebutlah yang penting ada nama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 4:05 PM