Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


RAJA Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin Shah, hari ini, berkenan merasmikan Blok Baharu Rafulin di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Serdang, Kapar di Klang.

Tengku Amir turut meluangkan masa hampir 30 minit meninjau blok berkenaan yang siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu.

Terdahulu, baginda yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Reduan turut menerima sumbangan cek RM100,000 dari Yayasan Rafulin bagi Yayasan Raja Muda Selangor.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim berkata, idea pembinaan bangunan baharu SRA itu bermula hasil lawatan kerja Yayasan Rafulin ke Kampung Sungai Serdang, pada 2016.

Katanya, hasil perbincangan bersama bekas ketua kampung itu bersama Pengerusi Yayasan Rafulin, Datuk Rafee K Chekku kemudian bersetuju membiayai kos pembinaan bangunan baharu berkenaan yang berjumlah RM3.5 juta.


Tengku Amir Shah berkenan merasmikan Blok Rafulin SRA Sungai Serdang. FOTO Faiz Anuar

“Bermula tempoh pembinaan sejak Julai 2017, pelajar sekolah itu ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serdang.

“Bangunan tiga tingkat itu dilengkapi 18 bilik darjah, enam tandas, satu tandas Orang Kurang Upaya (OKU) dan stor selain pengubahsuaian dan menaik taraf bangunan pejabat serta kantin sekolah.

“Pada 1 Januari lalu, bangunan itu kemudian diserahkan oleh Yayasan Rafulin kepada JAIS untuk digunakan pada sesi persekolahan yang bermula keesokan harinya,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Haris berkata, pihaknya berterima kasih kepada Yayasan Rafulin yang membiayai sepenuhnya pelaksanaan pembangunan blok sekolah dan menyediakan prasarana sempurna kepada sekolah itu.

“Kita berharap lebih banyak sektor korporat akan tampil mencontohi usaha murni seumpama ini demi kebajikan pelajar sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:02 PM