Mohd Sabran Md Sani


KERAJAAN negeri mengingatkan semua pemilik Skim Sewa Beli (RTO) Jauhar Prihatin Pangsa Sri Baiduri, Bandar Tiram di Ulu Tiram supaya tidak mengaut keuntungan segera atau ‘makan atas angin’ dengan menyewakannya kepada orang lain.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepqda mereka yang menyewakan rumah diberikan kepada orang lain.

“Tahniah kepada bakal pemilik rumah yang berjaya melepasi permohonan RTO Rumah Pangsa Seri Banduri dan janganlah menyewakan semula unit ini demi mendapatkan keuntungan segera atau orang kata ‘makan angin’.

“Jika ada dalam pengetahuan (penyewa), ada pemilik menyewakan rumah kepada pihak lain, laporkan kepada kami (kerajaan negeri),” katanya ketika berucap pada Majlis Pengundian Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri (RTO 05), Bandar Tiram, Ulu Tiram, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bamdar, Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Mohd Noorazam Osman.

Sebanyak 190 unit rumah pangsa Seri Baiduri, Bandar Ulu Tiram diselenggara Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) terbabit dalam proses pengundian itu.

Inisiatif dilaksanakan dengan kerjasama Generasi Ta’zim Sdn Bhd (GTSB) memberikan dimensi baru dalampembangunan negeri dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Johor khususnya golongan B40 yang menjadi tumpuan agenda perumahan negeri Johor.

Osman berkata, kerajaan negeri tidak hanya menitikberatkan matlamat penyediaan unit perumahan itu saja, malah memperkenalkan Skim Jauhar Prihatin bagi merealisasikan pemilikan secara total iaitu mampu membiayai unit rumah dimiliki.


OSMAN (tengah) bergambar bersama pemilik terpilih. FOTO Mohd Azren Jamaludin

“Skim Sewa Beli (RTO) Jauhar Prihatin bukan saja membantu menyelesaikan masalah perumahan kepada golongan B40, tetapi pelaksaannya menjadi lambang kerajaan prihatin dan menitikberatkan kebajikan rakyat.

“Kaedah pembiayaan tertangguh yang digunakan memberi peluang kepada pembeli memasuki rumah menerusi skim penyewaan selama lima tahun.

“Pembeli rumah juga tidak perlu risau memandangkan harga hartanah yang ditawarkan semasa menandatangani perjanjian sewa beli lima tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, pembeli rumah beruntung kerana kadar sewa bulanan yang ditetapkan hanya RM260 sebulan, bahkan harga semasa pasaran sewaan bulanan ketika ini boleh mencecah RM350.

Katanya, sehingga kini, dianggarkan 4,715 unit diperuntukkan di bawah skim RTO Jauhar Prihatin dengan 90 peratus meliputi daerah Johor Bahru.

“Berdasarkan rekod semasa, sambutan rakyat terhadap skim Jauhar Prihatin ini amat menggalakkan dengan jumlah permohonan sehingga tarikh akhir, 14 Oktober lalu adalahtiga 3.5 kali ganda berbanding jumlah rumah ditawarkan

“Jika dinilai perancangan serta agenda yang kerajaan negeri cuba laksanakan, ia meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi,” katanya.

Katanya, pembentangan Belanjawan Johor 2019, beliau mengumumkan hasrat mentransformasikan sektor perumahan dengan menggariskan 15 titik fokus.

“Antaranya dengan menetapkan 40 peratus komponen perumahan mampu biaya bagi setiap kawasan pembangunan yang dimajukan pemaju swasta

“Malah kerajaan negeri menaikkan kadar cas gantian kepada pemaju yang tidak membina Rumah Mampu Biaya daripada RM40,000 kepada RM60,000 seunit, selain skim sewa beli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 12:44 PM