DUA nelayan yang diselamatkan Pasukan Polis Marin selepas bot pukat tunda yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Enggang, Langkawi. FOTO Ihsan PPM
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


DUA nelayan pukat tunda berhadapan detik cemas apabila bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Engang, di Langkawi, semalam.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, mangsa, Husain Saidin, 44, dan menantunya yang dikenali sebagai Din berusia 30-an, diselamatkan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, kedua-dua mangsa ditemui sedang berpaut pada bot yang sudah karam pada 11.30 malam.

"Terdahulu, tiga anggota PPM yang melakukan rondaan Ops Gelora Bilangan 11/2019 menerima maklumat berkaitan bot pukat tunda kelas B1 dilaporkan karam di perairan Pulau Enggang.

"Sejurus itu, bot ronda RH9 dikejarkan ke lokasi sebelum menemui kedua-dua mangsa sedang berpaut pada bot," katanya, hari ini.

Rohizan berkata, sejurus diselamatkan dua nelayan terbabit dibawa ke pangkalan PPM Wilayah Satu di Bukit Malut di Langkawi, untuk tindakan lanjut.

"Tekong dan awak-awak dari Kuala Kedah itu tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi masih trauma kesan dari kejadian yang tidak diduga.

"Keluarga kedua-dua mangsa juga sudah dihubungi dan mangsa akan dihantar pulang hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 10:30 AM