Tertuduh (berkerusi roda) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


GURU didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas empat tuduhan melakukan amang seksual terhadap dua penghuni lelaki asrama sebuah sekolah di Pulau Sebang, Alor Gajah sejak dua tahun lalu.

Tertuduh Ramzu Zahini Abdul Aziz, 41, beralamat di Taman Saujana Heights, Lendu yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang juga warden asrama Sekolah Menengah Agama Al-Asyraf Pulau Sebang didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium mulut dan pipi; bersama-sama menonton rakaman video lucah di telefon bimbit serta sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan memasukkan zakar ke dalam mulut pelajar berusia 13 tahun lima bulan, jam 12.01 tengah malam hingga 4 pagi, 1 Januari 2018.

Kejadian itu dilakukannya di rumah warden asrama sekolah terbabit.

Bagi pertuduhan pertama, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda manakala pertuduhan kedua, Seksyen 15(E) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh disebat.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memeluk badan dan memegang serta melakukan seks oral terhadap pelajar lelaki berusia 15 tahun dalam rumah warden asrama sekolah sama, pada 11.30 malam, Februari 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh disebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam yang mengendalikan kes terbabit, mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan larangan mendekati mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Bela Andrew Lourdes membantah kerana berasakan cadangan jaminan terlalu tinggi, lalu memohon jumlah terbabit dikurangkan kerana tertuduh penjawat awam yang sudah 19 tahun berkhidmat sebagai guru selain menjaga emak yang uzur, adik yang tidak boleh berjalan selain sudah bercerai.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Sazali kemudian menawarkan tertuduh jaminan RM25,000 iaitu RM15,000 bagi tiga pertuduhan (pertama hingga ketiga) dan RM10,000 bagi pertuduhan keempat.

Tertuduh dan wakilnya juga dilarang mendekati dua mangsa selain diwajibkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Ahmad Sazali menetapkan 29 Mac ini untuk serahan dokumen, laporan kimia dan sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 3:36 PM