PERODUA Kelisa milik bapa Nor Aniza A Malek yang hilang ketika parkir di kawasan masjid. FOTO Ihsan Aniza Malek
Izlaily Nurul Ain Hussein


“KETIKA mengambil wuduk untuk solat Isyak, kereta ayah masih ada di situ, tetapi sebaik selesai solat kira-kira tujuh minit kemudian, kereta sudah tiada di tempat parkir masjid,” kata Nor Aniza A Malek yang kehilangan Perodua Kelisa berwarna kelabu, Sabtu lalu.

Peniaga berusia 36 tahun itu berkata, kereta yang dibelinya pada 2006 itu memang digunakan bapanya, A Malek Md Yusof, 62, untuk ke masjid.

“Bapa saya akan meletakkan kenderaan itu di dalam kawasan Masjid Kampung Melayu Majidee itu setiap kali menunaikan solat di masjid terbabit.

“Pada hari kejadian, ayah ke masjid untuk solat Maghrib dan Isyak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Nor Aniza, bapanya tidak mengesyaki sesiapa kerana tidak melihat individu mencurigakan pada hari kejadian, apatah lagi bapanya setiap hari akan meletakkan kenderaan terbabit di lokasi berkenaan.

Nor Aniza berkata, bapanya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Larkin dan dia memuat naik di laman sosial Facebooknya (FB), namun sehingga ke hari ini tiada sebarang maklumat diperoleh mengenai kereta terbabit dan belum dijumpai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis dibuat berhubung kehilangan kenderaan itu.

“Perodua Kelisa bernombor pendaftaran JJX 1518 itu diletakkan di kawasan parkir masjid pada 7.20 malam dan ia disedari hilang pada 8.45 malam ketika pengadu (A Malek) hendak pulang selepas solat Isyak.

“Jumlah kerugian dialami pengadu dianggarkan bernilai RM6,000 dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 11:28 AM