Tertuduh direman mulai hari ini bagi membantu siasatan dakwaan merogol anak kandungnya. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


PEMANDU teksi direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas didakwa merogol anak kandungnya berusia 14 tahun sejak lapan tahun lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi terhadap lelaki berusia 52 tahun itu bermula hari ini sehingga 5 Mac ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, suspek ditahan di rumahnya di Semabok malam tadi selepas pulang dari kerja.

Beliau berkata, mangsa hadir membuat laporan bersama ibunya di Balai Polis Melaka Tengah selepas dia menceritakan kejadian kepada gurunya.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dirogol bapanya sejak berusia enam tahun.

“Dalam kejadian terbaru 9 Februari lalu, mangsa didakwa dirogol ketika ibu dan adik lelakinya tiada di rumah kerana ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, kejadian menimpa mangsa disedari gurunya selepas mendapati remaja itu berada dalam keadaan trauma dan berkelakuan pelik.

“Dia kini direman mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 3:37 PM