Paras air Empangan Sungai Lebam di Bandar Penawar, Kota Tinggi terus merosot akibat cuaca panas berterusan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


PARAS Empangan Sungai Lebam, Bandar Penawar, Kota Tinggi, terus menyusut 0.45 meter apabila mencatatkan 10.45 meter pada hari ini berbanding 10.9 meter semalam.

Situasi itu sekali gus menimbulkan kebimbangan lebih 100,000 pengguna di kawasan Kota Tinggi, Tanjung Balau, Teluk Remunia, Pengarang dan Bandar Penawar.

Ini kerana tindakan pencatuan air dari empangan itu terpaksa dilaksanakan sekiranya paras air di paras 9.60 meter.

Bacaan paras air Empangan Sungai Lebam pada 21 Februari lalu pada 11.2 meter dan menyusut 0.3 meter petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata kerajaan negeri mengadakan mesyuarat khas pada 20 dan 21 Februari lalu bagi mencari langkah persediaan memastikan bekalan air di Johor tidak terganggu.

“Kerajaan Johor sentiasa mengambil berat keadaan semasa bekalan air di Johor terutamanya ketika negara berdepan cuaca panas ketika ini.

“Saya difahamkan oleh Jabatan Meteorologi bahawa cuaca panas ini dijangka akan berterusan sehingga Mac,” katanya ketika mengulas isu berkenaan.

Katanya, Sungai Lebam membekalkan air kepada kawasan Penawar, Sungai Rengit dan sekelilingnya, manakalaLayang (Upper) kepada kawasan Pasir Gudang dan sebahagian Johor.

“Manakala Empangan Sembrong Barat kepada kawasan Kluang dan sebahagian Ayer Hitan dan akhirnya Empamgan Lok Heng kepada FELDA Gugusam Lok Heng, FELDA Waha dan Bukit Easter,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), SAJ Ranhill dan FELDA untuk memastikam bekalan air mencukupi sepanjang cuaca panas ini.

“Antara kaedah dibincangkan adalah pemindahan air dari sumber lain, contohnya sekiranya terdapat keperluan di Empangan Layang (Upper) yang kini bergantung kepada Sungai Johor, kerajaan mampu mengarahkan pemindahan air yang dipam di Sungai Seluyut,” katanya.

Bagi keadaan di Lok Heng katanya, kerajaan memulakan pembinaan tiga telaga tiub pada 28 Oktober tahun lalu dan siap dibina pada 8 Disember 2018 yang bakal mengeluarkan 0.9 juta liter air bawah tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:45 PM