MUHAMMAD Reza Pahlevi. FOTO Ihsan PDRM
MUHAMMAD Reza Pahlevi. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hilmie Hussin


PIHAK berkuasa kini memburu lelaki warga Indonesia yang melarikan diri dari tahanan di Depot Imigresen Machap Umboo, di Alor Gajah, semalam.

Difahamkan, suspek Muhammad Reza Pahlevi yang ditempatkan di depot terbabit untuk tujuan perintah pengusiran, melarikan diri dari tahanan terbabit sekitar 9.30 pagi hingga 10.25 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah (IPD) Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, laporan kehilangan suspek dibuat pegawai kanan Jabatan Imigresen pada 5.50 petang semalam, selepas pihak terbabit cuba mencari suspek, namun gagal ditemukan.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang bimbang proses dokumentasi mungkin dapat mengesannya mempunyai beberapa kes yang belum selesai, lalu buat-buat sakit. Suspek ketika itu bersama 97 tertuduh lain yang dalam proses dokumentasi.

"Suspek mengadu sesak nafas dengan wajah lemah dan pucat sebelum diasingkan ke unit rawatan dan kesihatan bagi memudahkan pegawai perubatan memeriksanya. Selepas menerima rawatan, suspek didapati tidak mempunyai simptom sakit dan diserahkan kepada pegawai kanan imigresen semula," kata Asmadi, ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Asmadi berkata, pengadu terlebih dahulu diletakkan dalam bilik pemeriksaan badan lelaki sebelum berlaku proses serah terima.

Menurut Asmadi, tidak lama selepas itu, kedengaran jeritan pegawai wanita mengatakan suspek melarikan diri dari tahanan dan pemeriksaan dalam bilik serah terima mendapati suspek sudah tiada.

"Suspek meloloskan diri melalui tingkap kecil di bahagian bilik rawatan dan kesihatan. Dia dipercayai memanjat meja dan keluar melalui lubang angin bilik terbabit dengan tangan tidak bergari dan lari ke arah kebun kelapa sawit.

"Suspek memakai baju putih dan berseluar pendek," kata Asmadi lagi.

Beliau berkata, suspek dipercayai bimbang tidak akan terus diusir ke Indonesia kerana pemeriksaan dokumentasinya mendapati, suspek bakal dihantar ke IPD Seri Alam, Johor untuk berdepan pertuduhan di mahkamah bagi kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 kanun yang sama.

Katanya, suspek yang mempunyai rekod samun hotel bajet menggunakan parang selain membabitkan kes positif dadah, dipercayai mahu menuju ke Muar atau Pasir Gudang.

"Sebaik keluar dari depot tahanan, suspek dipercayai menahan kereta awam Perodua Kancil sebelum berhenti di satu lokasi lain dan menahan teksi.

"Suspek meminta pemandu teksi menghantarnya ke Muar atau Pasir Gudang, namun pemandu teksi meragui suspek tiada wang, hanya menghantarnya ke hentian bas Melak Sentral," kata Asmad, sambil mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 9:18 AM