Mary Victoria Dass


“KAMI tak mengharapkan Damia sempurna seperti kanak-kanak lain, cukup lidahnya mampu ke dalam seperti sedia kala,” kata suri rumah, Siti Nor Hidayah Zulkepli, di Kampung Kempas Baru, Johor Bahru.

Siti Nor Hidayah, 34, berkata, kini lidah anaknya tersembul keluar kira-kira lima hingga enam sentimeter mengakibatkan Nur Qalesya Damia atau lebih mesra dengan gelaran Damia, 8, derita menjalani kehidupan harian.

Menurutnya, apabila lidah Damia semakin membengkak dan tersembul keluar, murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas itu menghadapi kesulitan untuk makan dan bertutur.

Katanya, Damia terpaksa menggunakan jarinya untuk menolak makanan ke dalam mulut dan tidak mampu mengunyah sebaliknya hanya menelan.

“Damia menjalani rawatan selama empat hari di hospital awam dan ketika dibenarkan untuk pulang ke rumah, dia dibekalkan beberapa jenis ubat.

“Malangnya lidahnya semakin membengkak dan keadaannya semakin teruk.

“Dia memang mengalami penyakit kelenjar sejak bayi dan pernah menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan di bahagian leher pada usia dua tahun.

“Bahagian lehernya kekal bengkak selepas pembedahan itu dan lebih malang sejak sebulan lalu, lidahnya pula membengkak dan tersembul,” katanya.

Siti Nor Hidayah berkata, lidah anaknya mula membengkak selepas dipercayai rakan sekolahnya terlanggar pada bahagian leher.

Menurutnya, bagaimanapun keluarganya tidak mahu menyalahkan sesiapa sebaliknya menganggap dugaan dialami anak sulungnya daripada dua beradik sebagai suratan takdir .

Katanya, sejak sebulan lalu, keluarganya juga mengambil keputusan tidak menghantar Damia ke sekolah atas faktor kesihatannya selain dia juga kerap diperli oleh rakan.

“Damia sudah biasa diperli segelintir rakan, namun dia gemar ke sekolah dan hampir setiap hari bertanya bila boleh kembali belajar.

“Kami terpaksa menunjukkan sijil sakit diberikan doktor dan menasihatinya berehat di rumah sementara keadaannya pulih, ” katanya.

Siti Nor Hidayah berkata, dia dan suaminya, Mohd Rashid Jamil, 34, semakin bimbang dengan keadaan Damia.

Menurutnya, sebelum ini Damia pernah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan di hospital swasta di Larkin serta dinasihatkan menjalani pembedahan, namun ia terpaksa ditangguh kerana keluarganya tidak mampu menyediakan dana berjumlah RM30,000.

“Siapa tidak mahu anak sihat sempurna, namun apa daya kami kerana suami hanya bekerja kilang dengan pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 manakala saya pula tidak bekerja.

“Kami memiliki seorang lagi anak lelaki, Mohd Izzul Hadif berusia empat tahun,” katanya.

Siti Nor Hidayah berkata, harapan keluarganya supaya Damia mampu menjalani kehidupan lebih bermakna dan diberi kesembuhan.

“Saya berharap Damia memiliki masa depan yang cerah dan mampu kembali bersekolah.

“Kami sedang usaha mengumpul dana bagi rawatan susulan Damia dan berharap dia diberi kekuatan oleh Allah SWT,” katanya.

Siti Nor Hidayah berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Kempas, Salim Daud dan Ketua Kampung Kempas, Hambali Munadi.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan bagi menampung rawatan Damia menerusi akaun Maybank ibunya, 151276050894 atau menghubungi 019-7943850.

Hambali berkata, pihaknya akan menyalurkan masalah dialami keluarga Damia bagi membantu rawatan kanak-kanak berkenaan.

“Mereka menghadapi masalah kewangan hingga tidak mampu melanjutkan rawatannya di hospital swasta, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 10:48 AM
DAMIA menerima perhatian ibu Siti Nor Hidayah dan bapa, Mohd Rashid Jamil. FOTO Mary Victoria Dass
DAMIA menerima perhatian ibu Siti Nor Hidayah dan bapa, Mohd Rashid Jamil. FOTO Mary Victoria Dass