SUBROMANIAM bersama Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Azimah Abd Hamid memegang poster kempen ‘Amaran Jangan Jual Rokok Dan Arak Seludup’. FOTO Sairien Nafis


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal mengukuhkan ciri keselamatan setem cukai pada kotak rokok bagi mengelakkan pemalsuan untuk penyeludupan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam berkata, penambahbaikan pada setem cukai itu sedang dalam proses pembangunan yang mana ia lebih baik berbanding setem sedia ada ketika ini.

“Jabatan sedang cuba memperbaiki setem cukai menggunakan kaedah baharu yang mempunyai ciri keselamatan sukar dipalsukan tidak seperti yang ada sekarang.

“Setem baharu ini akan mempunyai ciri mudah dikesan. Kita sedang membuka tender kepada mana-mana syarikat untuk menghasilkan setem berkenaan,” katanya pada sidang sidang media Prestasi Kastam Banteras Penyeludupan Rokok dan Minuman Keras, di Kuala Lumpur, hari ini.


CONTOH borang untuk mengemukakan cukai. FOTO NSTP

Diaju soalan mengenai trend pemalsuan setem cukai rokok bagi menyukarkan aktiviti penjualan rokok seludup, Subromaniam berkata, kebanyakan rokok seludup dijual di bawah RM10.

“Harga sebenar rokok dicampur dengan harga duti dan cukai sudah mencecah RM9.50 sekotak. Jika rokok berkenaan dijual lebih rendah daripada RM10, ia adalah rokok seludup.

“Penjual dan pembeli sepatutnya tahu mengenai perkara ini. Mereka tidak boleh memberikan alasan tidak tahu mengenai setem duti palsu jika diperiksa,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, sindiket penyeludupan membeli setem cukai rokok original dikeluarkan JKDM dalam kuantiti kecil sebelum mengulang cetak jutaan keping setem palsu.

Setem cukai palsu itu kemudian dilekatkan pada setiap kotak rokok sebelum dipasarkan bertujuan menunjukkan seolah-olah rokok berkenaan sudah membayar cukai biarpun dijual di bawah harga minimum iaitu RM10.

Kaedah itu digunakan beberapa pengimport berlesen dan pengedar rokok jenama tempatan yang mempunyai rangkaian di seluruh negara bertujuan meyakinkan hampir 70,000 peruncit di seluruh negara bagi menjual produk mereka.

Berdasarkan rekod, sebelum pengenalan setem rokok itu pada 2016 hampir tidak wujud atau berlaku pemalsuan sebarang ciri keselamatan pada kotak rokok.

Namun, selepas pengenalan setem cukai rokok pada 2016 dan hingga kini, banyak berlaku pemalsuan setem rokok membabitkan satu bilion batang rokok dianggarkan nilai dan cukai eksais sebanyak RM440 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 2:05 PM