GAMBAR hiasan


BURUH warga Bangladesh ditemui mati di rumah kongsi projek pembinaan Hospital Daerah Dungun, semalam.

Mangsa, Mohd Bukolmia, 43, ditemui rakannya, Sohabur Sohel, 31, dalam keadaan tertiarap kira-kira 10 malam.

Sohabur berkata, rakannya itu sudah tujuh bulan bekerja di tapak pembinaan berkenaan dan kali berakhir mereka bertemu kira-kira 6 petang sebelum kejadian.

“Ketika kejadian, saya berada di luar dan sebaik pulang ke bilik kongsi, saya melihat mangsa tertiarap dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Saya mengejutnya beberapa kali, namun dia tidak bergerak sebelum saya memaklumkan kejadian itu kepada rakan yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 12.30 tengah malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 11:44 AM