Gambar hiasan
Gambar hiasan


KERAJAAN Melaka bercadang menjadikan daun kering yang bertaburan di tepi jalan terutama pada musim panas ketika ini dikitar semula menjadi baja kompos.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, beliau mengarahkan agensi berkaitan termasuk Perbadanan Bioteknologi Melaka serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengkaji cadangan berkenaan bagi membolehkan ia direalisasikan segera.

Beliau berkata, masalah daun kering yang bertaburan terutama di tepi jalan utama di negeri itu menjadi isu setempat apabila kerap tular di media sosial sekali gus boleh menjejaskan imej sebagai lokasi tumpuan pelancongan.

“Sehubungan itu, saya fikir hanya dengan menggunakan teknologi terkini saja mampu menyelesaikan isu berkenaan secara berkesan kerana daun kering bukan merugikan malah menguntungkan.

“Sebahagian besar negara maju sudah melakukannya (proses daun sebagai baja kompos) dan saya yakin kita juga boleh berbuat demikian selain memberi pulangan kepada agensi atau PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Sementara itu, Adly berkata, semua agensi dan jabatan di negeri itu diminta melihat semula perancangan pembangunan yang dikendalikan mereka supaya siap mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan melakukan pemantauan lebih kerap dalam tempoh tiga bulan bermula Mac ini bagi memastikan semua jadual pembangunan lebih tersusun.

“Pihak terbabit akan pantau setiap jadual pembangunan di peringkat kerajaan negeri supaya mengikut masa ditetapkan.

“Kita mahu setiap projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan itu adalah untuk memudahkan rakyat bukannya menyusahkan mereka kerana menerusinya dapat memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat sekali gus meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:10 PM