Skip this ad x
Dr Zulkifli menganggap kegagalan memberi imunisasi satu pengabaian kanak-kanak. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

IBU bapa boleh dianggap sebagai mengabaikan kesihatan kanak-kanak sekiranya mereka memilih untuk tidak memberi imunisasi kepada anak-anak mereka, menurut Immunise4life, inisiatif pendidikan komuniti bagi menggalakkan imunisasi untuk semua peringkat umur.

Pengerusi Immunise4life Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail hari ini berkata, isu pengabaian sudah termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001.

“Sekiranya tidak melakukan sesuatu untuk melindungi kanak-kanak (menjaga kesihatan mereka), dan kanak-kanak itu terjejas, (dengan penyakit berbahaya) kita boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2019 di Georgetown.

Dr Zulkifli berkata, kanak-kanak yang tidak menerima imunisasi mempunyai risiko yang tinggi dijangkiti penyakit berbahaya seperti difteria dan campak tetapi mereka tidak boleh dihalang daripada menghadiri sesi persekolahan.

“Jika kita menghalang kanak-kanak daripada ke sekolah, itu terlalu keterlaluan. Ini kerana sudah termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak bahawa kerajaan perlu memberi pendidikan kepada kanak-kanak sekurang-kurangnya sehingga peringkat sekolah rendah,” katanya.

Sehingga kini, kerajaan tidak mewajibkan tadika dan sekolah-sekolah meminta dokumentasi imunisasi kanak-kanak.

Dr Zulkifli berkata, inisiatif perlu diambil sekurang-kurangnya mengetahui status imunisasi kanak-kanak.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin dalam ucapan perasmian persidangan itu berkata penekanan orang Islam terhadap aspek halal dari segi makanan dan penggunaan perubatan memberi impak yang besar kepada pasaran halal global.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan Sekretariat Halal Sedunia menunjukkan pasaran halal global pada 2010 bernilai US$2.3 trilion (RM9.37 trilion) dengan 67 peratus daripadanya mewakili industri makanan, 22 peratus industri farmaseutikal manakala selebihnya bidang potensi lain.

Persidangan itu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHH) akan membincangkan isu halal berkaitan farmaseutikal, pelancongan perubatan dan hospitaliti, penyelidikan dan bahan produk, vaksinasi dan imunisasi serta industri penjagaan kesihatan secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 9:54 PM