MANGSA. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


REMAJA lelaki maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal yang ditunggang merempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 1, Jalan Siakap, Simpang Tiga, Kuala Kurau, dekat Parit Buntar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Muhammad Firdaus Munjiat,17, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z itu maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Sementara, rakannya, Abdul Azib Bin Abd Halim, 17, yang membonceng motosikal itu cedera dan luka pada beberapa bahagian tubuh.

Difahamkan, Muhammad yang beralamat dari Kampung Tebuk Bugis, Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu, Kedah, adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Ulul Albab Kerian, dekat Bukit Merah.

Mangsa yang menunggang dari arah Parit Buntar menghala Kuala Kurau, dikatakan merempuh bahagian pintu belakang sebelah kiri kenderaan pekerja kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB) jenis Ford yang dipercayai sedang membelok di simpang di situ.

Kejadian dipercayai berlaku selepas pekerja terbabit baru selesai menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemasangan wayar elektrik di lokasi seorang remaja lelaki yang maut ditimpa sebatang pokok kelapa di Parit Abas, Kuala Kurau, dan dalam perjalanan ke arah Bagan Serai.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih lagi dijalankan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 8:34 AM