GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


SEORANG lelaki sanggup membayar sehingga RM72,999 bagi mendapatkan pinjaman yang hanya berjumlah RM5,000 sebelum menyedari dirinya ditipu satu sindiket.

Mangsa berusia 39 tahun itu dikatakan membuat sebanyak 47 kali transaksi untuk memasukkan wang berkenaan dalam 14 akaun sejak Mei tahun lalu sehingga kelmarin untuk pelbagai bayaran diminta suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian bermula Mei tahun lalu apabila mangsa melayari laman Facebook dan tertarik dengan iklan pinjaman wang.

“Mangsa yang tidak bekerja itu mengisi maklumat diperlukan sebelum dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Miss Kriss dari Syarikat EZ Enterprise Moneylender.

“Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang sebanyak RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, bagi mendapatkan pinjaman berkenaan mangsa diminta membuat pelbagai bayaran yang dianggarkan RM72,999 membabitkan 47 transaksi ke dalam 14 akaun.

“Namun sehingga kini, mangsa belum menerima wang pinjaman berkenaan dan diminta untuk membuat bayaran lagi.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang jurujual lelaki berusia 32 tahun di sini berputih mata apabila kerugian RM7,653 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud di FB, bulan lalu.

“Mangsa berurusan dengan tiga suspek memperkenalkan diri sebagai Jeff, Raymond dan Vivivan dan hasil perbincangan dia setuju membuat pinjaman sebanyak RM25,000 namun perlu membuat pelbagai bayaran insuran, cukai serta denda bayaran lewat.

“Mangsa kemudian memindahkan wang sebanyak RM7,653 ke dalam tiga akaun berbeza melalui empat transaksi bermula Jumaat lalu sehingga semalam sebelum ingin membatalkan permohonan pinjaman,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa diminta membuat bayaran pembatalan sebanyak 10 peratus daripada jumlah pinjaman namun dia enggan dan meminta balik bayaran sudah diserahkannya kepada sindiket berkenaan.

“Namun sindiket berkenaan enggan dan mangsa membuat laporan polis di IPD Kuantan semalam, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 11:50 AM