MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


MAYAT lelaki dipercayai antara mangsa bot pancung terbalik ditemui terapung berdekatan perairan Kampung BDC, dekat Sandakan, hari ini.

Mayat dalam keadaan kembung tetapi belum dikenal pasti identitinya itu ditemui oleh penduduk kampung yang kemudian memaklumkannya kepada Pasukan Polis Marin (PPM).

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, mayat kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut.

Jika disahkan sebagai mangsa bot terbalik itu, ia menjadikan tinggal tiga mangsa yang masih hilang dalam kejadian berkenaan yang berlaku berhampiran Pulau Nunuyan Laut, dekat Sandakan, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, bot pancung membawa 11 individu dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke Sandakan dilaporkan terbalik.

Lima mangsa berpaut pada bot ditemui selamat, manakala enam hilang sebelum dua mayat ditemui pasukan SAR pada hari pertama dan kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Setakat semalam, empat mangsa iaitu bayi perempuan setahun enam bulan, kanak-kanak perempuan lapan tahun dan dua lelaki berusia 27 dan 40 tahun dilaporkan masih hilang.

Sementara itu, Mohd Khairulanuar berkata, operasi SAR hari ini dipergiat dengan fokus kepada lapan sektor pencarian bermula jam 7 pagi.

“Seramai 111 anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kawasan pencarian seluas 187 batu nautika persegi dan dipecahkan kepada lapan sektor,” katanya.

Berita berkaitan

  • Satu lagi mayat ditemui
  • Mayat kanak-kanak ditemui, 5 lagi masih hilang
  • 5 selamat, 6 dikhuatiri lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 12:32 PM