FELIX Gonsalvez disamping pesawat Hawk. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


PELUANG menjadi antara juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terawal merasai pengalaman menerbangkan pesawat Hawk yang pertama adalah kenangan yang sukar dilupakan hingga ke hari ini.

Itu diakui sendiri Brigedier Jeneral Felix Gonsalvez yang terpilih mengikuti kursus penerbangan Hawk selama lapan bulan di United Kingdom, England sekitar tahun 1993 sebelum diikuti tiga lagi juruterbang lain yang bersamanya belajar mengendalikan pesawat pejuang berkenaan.

Gonsalvez, 57, berkata, beliau merebut peluang keemasan yang diberikan dengan menimba ilmu melalui juruterbang asing dalam mengendalikan pesawat Hawk jenis 108 dan 208 yang kemudiannya menjadi aset kepada TUDM.

“Perasaan seronok dan begitu teruja apabila melihat pesawat yang pada ketika itu teknologinya begitu canggih kerana bukan hanya menggunakan radar tetapi dilengkapi sistem digital.

“Ia sekali gus menjadi aset pertama TUDM yang mempunyai teknologi canggih seperti itu yang mana sebelumnya pesawat yang digunakan semuanya jenis analog,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Jubli Perak Sempena 25 tahun Pesawat Hawk di Pangkalan Udara TUDM Butterworth, semalam.


ANTARA formasi pesawat tempur Hawk. FOTO Danial Saad

Katanya, beliau yang menyertai TUDM pada 1980 membawa pulang ilmu yang dipelajarinya untuk didedahkan kepada bakal juruterbang di negara ini.

“Banyak ilmu yang saya pelajari daripada juruterbang asing ketika berada di sana dan sangat berlainan dengan apa dipelajari di Malaysia.

“Ia memantapkan kemahiran saya sekali gus dapat membantu juruterbang di sini dalam mengendalikan pesawat pejuang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Gonsalvez berkata, beliau yang kini berkhidmat sebagai Inspektorat Jeneral Markas Tentera Udara yang berpangkalan di Kuala Lumpur yakin dengan keupayaan pesawat Hawk walaupun sudah berusia lebih dua dekad.

“Pesawat ini banyak jasanya kepada TUDM dan sehingga kini masih lagi aktif memberi khidmat dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara.

“Antara operasi terbesar yang membabitkan pesawat ini adalah Ops Daulat pada Mac 2013 yang mana lima buah pesawat Hawk ditugaskan bagi melancarkan serangan udara ke kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu, Sabah,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 19 pesawat Hawk yang masih beroperasi di bawah tiga skuadron iaitu No 6 Skuadron, No 9 Skuadron dan No 15 Skuadron.

Gonsalvez berkata, pesawat Hawk mampu terbang di udara selama dua jam dengan kelajuan 1,600 kilometer sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 4:24 PM