GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

PENGERUSI Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan meminta peminjam PTPTN menjelaskan pinjaman mereka supaya wang berkenaan boleh digunakan untuk memberi pinjaman kepada pemohon baharu.

Beliau berkata, kegagalan peminjam membayar balik pinjaman mungkin akan menjejaskan peluang pelajar yang baharu memasuki institusi pengajian tinggi mendapat bantuan agensi itu.

“Sejak PTPTN diwujudkan 21 tahun lalu, seramai 362,000 daripada 1.9 juta peminjam tidak membayar balik pinjaman mereka berjumlah RM2.7 bilion.

“Jika seorang peminjam dikecualikan membayar balik pinjaman, bermakna seorang pelajar baharu tidak akan mendapat ​​​​pinjaman,” ​katanya kepada Bernama pada jamuan Keluarga Persatuan Melayu Perlis (Pemanis) di Kangar, hari ini.

Beliau berkata, peminjam harus sedar wang yang digunakan untuk memberi pinjaman kepada mereka dipinjam oleh PTPTN daripada bank yang dikenakan faedah sebanyak lima peratus sedangkan pelajar dikenakan faedah satu peratus sahaja oleh agensi itu.

Menurutnya, sehingga sekarang PTPTN mempunyai hutang pokok dengan bank sebanyak RM40 bilion dan faedah pinjaman itu sahaja berjumlah RM12 bilion.

“PTPTN bagaimanapun masih mencari formula terbaik bagi meringankan beban peminjam supaya dapat membayar balik pinjaman di samping beban hutang PTPTN sendiri berkurangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 5:29 PM