Zatul Iffah Zolkiply


WANITA dibelasah suami dengan topi keledar selepas keluar membeli barang keperluan anak mereka tanpa kebenaran lelaki terbabit di Kuala Nerus pada Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, mangsa berusia 33 tahun bukan hanya dipukul menggunakan topi keledar tetapi turut terjatuh dari motosikal ditunggangnya.

Menurut sumber, sebelum kejadian itu, mangsa meminta izin daripada suspek untuk keluar membeli barang anak-anak mereka.

Katanya, suspek berusia 30-an itu bagaimanapun tidak mengizinkan mangsa keluar tanpa sebarang alasan.

“Mangsa kemudian mengambil keputusan keluar bersama ibunya kerana mahu memenuhi permintaan anak-anak mereka.

“Namun, suspek yang marah melihat mangsa keluar dengan menunggang motosikal nekad mengekori wanita itu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek menarik tudung mangsa menyebabkan wanita terbabit gagal mengawal motosikal lalu terbabas di bahu jalan,” katanya.

Sumber berkata, suspek mengambil topi keledar dipakainya lalu menghentak kepala mangsa. Katanya, melihat suspek semakin agresif, mangsa berlari ke arah ibunya sebelum membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 7:04 PM