GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


TIDAK cukup memaki hamun polis selepas ditahan kerana menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, seorang wanita bertindak biadab apabila tidak mahu menandatangani saman dikeluarkan terhadapnya dalam kejadian di bandar Jertih, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu, suspek tidak mahu mengeluarkan lesen selain menepis gari dikeluarkan sebelum dengan selamba meninggalkan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum itu, dua anggota yang menjalankan tugas ronda jenayah ternampak suspek menunggang motosikal Honda Wave tanpa memakai topi keledar.

Beliau berkata, anggota kemudian mengarahkan suspek memberhentikan motosikalnya, namun suspek enggan memberi kerjasama menyebabkan anggota mengeluarkan saman.

“Suspek bukan sahaja tidak mahu memberi lesen, tetapi turut memaki hamun anggota menyebabkan mereka menghampiri suspek dan mengeluarkan gari.

“Bagaimanapun, suspek tetap berdegil apabila menepis gari selain tidak mahu menandatangani saman dikeluarkan sebelum beredar.

“Anggota kemudian dimaklumkan suspek sama turut memuat naik status di Facebook memfitnah kononnya dua anggota mengejar dan memakinya selain menyatakan dia dipukul menggunakan gari sehingga luka dan hampir patah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, susulan kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha mengesan suspek berusia 26 tahun sedang dijalankan dan kes disiasat Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas, Seksyen 505(a) KK kerana kenyataan mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 8:34 PM