Mohd Fahmi Mohd Yusof


“TERIMA Sultan Johor dan TMJ (Tunku Mahkota Johor) kerana memahami rakyat sangat memerlukan rumah,” luah Mohd Faiz Yusof, apabila dipilih antara penerima tawaran Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ).

Mohd Faiz, 31, yang berasal dari Kota Tinggi dan bertugas sebagai guru di Batu Pahat berkata, dia dan isterinya, Nor Diyan Dahlan, tidak menyangka bertuah menerima sijil tawaran RIBJ, hari ini.

Katanya, dia membuat permohonan sejurus selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyempurnakan majlis pra pelancaran RIBJ di Johor Bahru, dua tahun lalu.

“Saya mengisi maklumat diperlukan dan membuat permohonan dalam laman web Yayasan Sultan Ibrahim pada 2017 dan saya ingatkan tidak layak atau permohonan gagal.

“Saya menerima panggilan telefon minggu lalu memaklumkan menerima sijil tawaran RIBJ membuatkan saya, isteri dan dua anak bersyukur serta gembira, bagaikan tidak percaya permohonan kami berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sijil tawaran RIBJ kepada 808 penerima yang disampaikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Kompleks Mutiara Johor Land, Bandar Dato’ Onn Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani; barisan EXCO serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Jurutera sebuah syarikat swasta, Chong Nyee Hao, 27, berkata dia bertuah apabila menerima panggilan dan e-mel memaklumkan permohonannya diterima dan diberi sijil tawaran.

“Saya terkejut dan rasa bertuah kerana mendapat RIBJ yang selama ini saya fikirkan tidak layak,” katanya yang membuat permohonan tahun lalu.

Sasikumar Subramani, 45, berkata sebelum ini dia membuat banyak permohonan bagi mendapatkan kediaman di beberapa projek perumahan, namun gagal.

“Saya cuba memohon RIBJ dan tidak sangka minggu lalu saya terima panggilan memberitahu layak menerima sijil tawaran rumah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 9:58 PM
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sijil tawaran RIBJ kepada penerima di Kompleks Mutiara Johor Land, Bandar Dato’ Onn Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sijil tawaran RIBJ kepada penerima di Kompleks Mutiara Johor Land, Bandar Dato’ Onn Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.