NUR Aisyah Aleya hilang sejak minggu lalu. (Gambar kecil) Dua suspek yang sedang dikesan. FOTO Ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


KANAK-KANAK perempuan berusia tiga tahun dipercayai hilang dari jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi, sejak minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak itu, Nur Aisyah Aleya Abdullah, jam 12.08 malam semalam.

Katanya, ibu kanak-kanak itu seorang warga Indonesia berusia 31 tahun memaklumkan anak perempuannya yang dijaga teman lelaki.

“Ibu kanak-kanak itu ada bertanyakan kepada lelaki terbabit (suspek) di mana anaknya berada, namun dimaklumkan sudah diserahkan kepada pihak ketiga untuk dijaga.

“Berikutan itu, wanita terbabit kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, hasil siasatan awal mendapati, wanita itu mengenali suspek berusia 37 tahun yang sering ke tempat kerjanya di Pulau Pinang awal November lalu sebelum mereka bercinta.

Namun, katanya, akhir bulan sama, wanita itu ke Langkawi dan tinggal bersama suspek dan isterinya di sebuah rumah di Kuarters Hospital Langkawi.

“Bagaimanapun, awal Januari tahun ini, isteri suspek yang bekerja sebagai jururawat di hospital itu mengesan hubungan antara suaminya dengan wanita berkenaan.

“Selepas rahsia mereka terbongkar, wanita itu kemudian dihantar ke tempat kerjanya di sebuah restoran di Kampung Bohor Tempoyak, Padang Matsirat namun anaknya tidak diserahkan kepadanya, “katanya.

Mohd Iqbal berkata, akhir bulan lalu, wanita terbabit pergi ke rumah suspek dan mendapati anaknya tiada sebaliknya dimaklumkan anaknya sudah diserahkan kepada pihak lain yang tidak dikenali.

Beliau berkata, pemeriksaan di rumah dan tempat kerja isteri suspek sudah dibuat namun pasangan suami isteri terbabit tiada.

“Setakat ini kita sedang mengesan suspek dan isterinya yang dipercayai terbabit di dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 48 (2) Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya sedang mengesan suspek, Ramlan Abdul Rashid, 37, yang beralamat di E-3-4,Apartment G, Kuarters Hospital Langkawi, 07000 Langkawi dan isterinya, Wan Roslinda Wan Jusoh, 40, yang menetap di alamat sama untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 3:07 PM