Siraj Mohd Zaini


CUBAAN sindiket untuk menyeludup 6,420 karton rokok kretek bernilai lebih RM600,000 gagal apabila diberkas Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman di Pelabuhan Klang hari ini.

Semua rokok seludup itu disembunyikan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan sebuah van Toyota Hiace di Jalan Raja Musa, Kuala Selangor 5.30 pagi.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusof Mamat berkata, rokok berkenaan dipercayai cuba diseludup melalui perairan Kuala Selangor dan dipindahkan ke dalam kedua-dua kenderaan itu.

“Sejumlah rokok kretek seperti Nusantara Gudang Garam Hijau Menthol (900 karton), Nusantara Gudang Garam Merah (300), Minna Merah Barokah (80), Minna Hitam International (320), Gudang Garam Surya 12 (4160) dan Gudang Garam Surya 16 (660) dirampas.

“Nilai rampasan rokok termasuk cukai RM648,595 dan dua kenderaan bernilai RM370,000 turut disita menjadikan jumlah keseluruhan RM1.01 juta,” katanya pada sidang media di Markas PPM Pelabuhan Klang hari ini.

Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit ada kaitan dengan sindiket penyeludupan rokok di Johor dan rokok yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, empat lelaki termasuk seorang ‘tekong darat’ berusia 30 hingga 40 an dipercayai anggota sindiket turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, ‘tekong darat’ berkenaan ditahan ketika mengekori pihaknya selepas tangkapan berkenaan sehingga ke Markas PPM.

“Lelaki terbabit menaiki Toyota Vios itu mengekori polis dari Kuala Selangor sehingga ke Markas PPM dipercayai bagi melaporkan setiap gerak geri polis kepada sindiket.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan lelaki itu cuba untuk menyogok pihak berkuasa dan sebab itu dia berani mengekori sehingga ke Markas PPM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 5:40 PM
Mohd Yusoff (dua kiri) melihat rampasan rokok di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang. FOTO Sairien Nafis