RUMAH wanita berusia 31 tahun yang mengurung anak perempuan berusia 7 tahun sejak lima hari lalu sebelum diselamatkan pihak polis semalam di Taman Hijrah. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


“MAK cik saya lapaq, ibu tak dak di rumah,” itu tangisan dan rayuan kanak-kanak perempuan yang dikurung bersendirian oleh ibunya selama lima hari di rumahnya di Taman Hijrah, Kangar, sejak Rabu lalu.

Perkara itu didedahkan jiran yang enggan dikenali ketika ditemui di kawasan perumahan terbabit, hari ini.

Menurut jiran itu, ibu kanak-kanak itu dilihat sering keluar dari rumahnya bersama teman lelaki pada waktu malam dan meninggalkan anaknya berusia tujuh tahun itu berseorangan.

“Kami hanya tahu dia ditinggalkan ibunya selepas terdengar dia merayu ‘mak cik, saya lapaq’ di tingkap rumah.

“Jiran yang terdengar rayuannya itu segera ke rumah berkenaan dan mendapati pintu jeriji di hadapan dan belakang rumah berkunci,” katanya.

Katanya, atas dasar simpati mereka semua memberikan makanan kepada kanak-kanak itu melalui tingkap rumah.

“Kami tidak tahu bila ibunya akan pulang, jadi kami menghantar makanan kepadanya jika terdengar rayuan dari rumahnya.

“Ibu kanak-kanak itu memang tidak bergaul dengan masyarakat setempat,” katanya menambah kanak-kanak itu hanya akan diam jika dia tertidur atau kenyang selepas diberikan makanan.

“Kami kasihan melihatnya, pada awalnya penduduk enggan melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Tetapi simpati melihat keadaan kanak-kanak itu, mereka terpaksa melaporkannya demi keselamatan kanak-kanak itu,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan polis menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, malam tadi, dipercayai dikurung ibunya sejak Rabu lalu di rumah di Taman Hijrah, di sini.

Susulan itu, polis menahan wanita berusia 31 tahun dipercayai ibu kanak-kanak terbabit di rumah berkenaan bagi membantu siasatan, pagi tadi.

Berita berkaitan

Sampai hati ibu...

[UPDATE] Kanak-kanak dikurung menangis di tingkap

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 5:46 PM