Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


BILANGAN kes kebakaran di seluruh negara naik mendadak dengan 1,936 kes Januari lalu meningkat kepada 3,054 ada Februari tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, jumlah kes itu dijangka meningkat sehingga awal April ini memandangkan cuaca panas kali ini begitu buruk berbanding tahun sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak panggilan kecemasan membabitkan kebakaran hutan dan kawasan terbuka.

“Situasi panas itu dijangka berterusan sehingga April ini dan anggota JBPM terutama Pasukan Unit Udara di Sibu, Sarawak; Subang, Selangor dan Bertam di Pulau Pinang diarahkan untuk bersiap sedia terutama menggunakan helikopter atau pesawat untuk membuat pemadaman ‘water bombing’ di kawasan hutan,” katanya ditemui pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Pulau Pinang di Batu Kawan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai terutama pesawah dinasihatkan tidak membakar jerami khususnya di Kedah dan Perlis ketika musim panas.

“Kami sarankan pesawah menghentikan pembakaran jerami pada masa ini, musim panas kali ini berbeza pada tahun sebelumnya kerana suhu panas yang dialami agak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, negara akan berdepan situasi jerebu teruk seperti yang berlaku pada 1997 dan 2015 jika orang ramai terus melakukan pembakaran sesuka hati.

“Ketika cuaca panas melampau di seluruh negara ketika ini, orang ramai perlu lebih peka agar tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat titik panas di wilayah Riau dan Jambi, Indonesia dan jika angin bertiup ke arah Malaysia, asapnya akan beralih ke sini dan boleh menyebabkan jerebu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 6:24 PM
Mohamad Hamdan melihat Pingat Jasa Bomba (PJB) yang dianugerahkan kepada anggota dan pegawai bomba Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam