ANTARA warga asing yang ditahan. FOTO Ihsan JIM
Zuliaty Zulkiffli


SERAMAI 14 pekerja warga asing ditahan dalam Ops Bersepadu di tiga lokasi di sekitar Alor Setar dan Kuala Kedah diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, semalam.

Dalam operasi bermula 1.30 tengah hari itu, seramai 178 warga asing diperiksa ketika sedang bekerja di pasar raya, dua tapak pembinaan dan sebuah premis perniagaan.

Daripada jumlah itu, hanya 14 daripada warga asing itu yang berusia antara 21 hingga 50 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan, iaitu seorang lelaki Indonesia, dua lelaki Myanmar, tiga wanita Myanmar dan lapan lelaki Bangladesh.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, pihaknya melancarkan operasi membabitkan 16 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah.

“Siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa.

“Selain itu kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar atau gagal mematuhi syarat-syarat pas atau permit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuhair berkata, kesemua mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 9:40 AM