Laporan Harian Metro semalam.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS tidak menolak kemungkinan kanak-kanak perempuan yang dikurung ibunya sendiri selama lima hari sejak Rabu lalu di rumahnya turut didera wanita terbabit.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya masih menunggu laporan perubatan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu daripada Pakar Kanak-kanak Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

“Kemungkinan itu ada (penderaan) sama ada kanak-kanak perempuan itu sudah didera secara fizikal atau mental.

“Bagaimanapun kita masih menunggu laporan terbabit dan kanak-kanak itu kini masih ditahan di HTF di Wad Pediatrik.

“Pihak kami juga belum menyoal siasat kanak-kanak terbabit kerana dia masih menjalani rawatan dan tidak dibenarkan oleh pakar untuk bertemu dengan orang luar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.

Harian Metro melaporkan, polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun selepas dikurung ibunya sendiri selama lima hari sejak Rabu lalu.

Susulan itu ibu tunggal berusia 31 tahun ditahan di rumahnya pagi semalam bagi membantu siasatan selepas dia mengurung kanak-kanak itu untuk mengikut teman lelakinya.

Mengulas lanjut mengenai pembebasan ibu kanak-kanak itu dengan jaminan polis, Noor Mushar berkata, wanita berkenaan tidak dibenarkan untuk bertemu dengan kanak-kanak terbabit meskipun dia dibebaskan.

“Kita akan memanggil teman lelaki ibunya yang berusia 30-an untuk disoal siasat, namun buat masa ini kita tidak akan mendedahkan dahulu identitinya.

“Malah kanak-kanak itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dibenarkan keluar dari hospital sehingga siasatan selesai dan kita tidak benarkan dia tinggal bersama ibu dan ahli saudaranya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 4:50 PM