Muhyiddin ketika sidang media selepas majlis Pelantikan Ahli RCI Mengenai Penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur di Wang Kelian, Perlis di Kementerian Dalam Negeri. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti kerana kawasan itu sudah diperuntukkan kepada PKR.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, justeru tiada sebarang perubahan akan dibuat kerana mana-mana kerusi yang diperuntukkan kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) adalah kekal pada ketika ini.

“Kawasan itu (kerusi DUN Rantau) diperuntukkan kepada PKR jadi kita tak nak buat apa-apa perubahan kerana setakat hari ini, mana-mana parti diperuntukkan kerusi adalah kekal macam yang lepas.

“Hal ini kerana semuanya sudah dimuafakatkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu. Jika kerusi itu PKR, jadi parti itulah yang putuskan siapa calon paling sesuai di situ,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelantikan Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada BERSATU lebih sesuai bertanding di kerusi DUN Rantau berbanding PKR memandangkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan yang menggalas tugas Presiden UMNO bertanding di kawasan itu.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak rayuan Mohamad bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 adalah tidak sah dan terbatal.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding pada PRU-14 selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Ditanya mengenai persediaan bagi PRK DUN Rantau, Muhyiddin berkata, setakat ini persiapan khusus belum dibuat memandangkan baru selesai PRK DUN Semenyih.

“Pastinya jawatankuasa pilihan raya akan bersidang dan persiapan lain sudah dimulakan di peringkat negeri dan kawasan,” katanya.

Mengenai isu membabitkan MCA dan MIC sama ada ia akan menguatkan lagi PH, beliau berkata, perkara itu sukar dijangka.

“Itu keputusan mereka buat, kita di sebelah sini terima saja apa keputusan dan keadaan dari sudut politik dan lain-lain. Sama ada impak besar atau tidak, perkara ini sukar dijangka,” katanya.

Semalam, MCA dan MIC memutuskan tidak mempunyai pilihan lain selain keluar daripada Barisan Nasional (BN) bagi meneroka satu pakatan baharu yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan.

Namun, keputusan itu hanya akan dibuat selepas Majlis Tertinggi (MT) BN mengadakan mesyuarat bagi membincangkan masa depan parti itu, sama ada komponen tiga parti itu perlu diteruskan atau dibubarkan berdasarkan perkembangan semasa politik membabitkan parti berkenaan.

Berhubung permohonan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik mahu menyertai BERSATU, Muhyiddin berkata, keputusan penerimaannya belum dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Saya diberitahu beliau sudah mengemukakan (permohonan) beberapa bulan lalu tetapi keputusan penerimaan belum dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Orang nak mohon, boleh mohonlah tetapi keputusan itu tertakluk persetujuan kita untuk memutuskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:34 PM