Aidi Sham menunjukkan kenderaan yang digunakan dalam cubaan menyeludup keluar PATI. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Aidi Sham menunjukkan kenderaan yang digunakan dalam cubaan menyeludup keluar PATI. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


PEMANDU teksi warga tempatan ditahan polis selepas dipercayai bersubahat dalam aktiviti penyeludupan manusia di Pantai Teluk Kubur, Pasir Panjang di Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 43 tahun itu yang dikatakan bertindak sebagai tekong darat ditahan bersama empat lelaki warga Indonesia kira-kira 11 malam.

Menurutnya, pihaknya melaksanakan Op Pintas sebaik memperolehi maklumat mengenai aktiviti menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan laluan laut secara tidak sah.

“Dalam operasi itu, suspek dikesan membawa empat lelaki Indonesia berusia 29 hingga 40 tahun dari Klang, Selangor.

“Dia sedang menurunkan empat PATI itu dari kenderaannya sementara menunggu kehadiran tekong bot bagi membawa mereka ke Indonesia,” katanya.

Aidi Sham berkata, siasatan mendapati pemandu teksi terbabit menerima RM500 daripada ejen negara itu bagi perjalanan di darat.

“Semua lima lelaki ini diberkas polis dan soal siasat mendapati pemandu teksi terbabit mengaku sebagai tekong darat,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Menurut Aidi Sham, pihaknya merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova, dua telefon bimbit dan tiga pasport Indonesia.

“Pemandu teksi berkenaan dan empat lelaki warga Indonesia direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 7:18 PM