LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan hilang.
Muhaamad Hafis Nawawi


SUAMI isteri yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang hilang minggu lalu ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 37 dan 40 tahun itu ditahan di Ampang, Selangor pada 4 petang.

Menurutnya, polis akan membawa mereka pulang ke Langkawi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun kanak-kanak terbabit tidak berada bersama mereka dan kami masih menyiasat mengikut kes berkenaan mengikut Seksyen 48(2) Akta Kanak-Kanak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dipercayai hilang daripada jagaan pengasuhnya di Kuaters Hospital Langkawi, sejak minggu lalu.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya menerima maklumat pada 12.08 malam kelmarin daripada ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 31 tahun membuat laporan mengatakan anaknya yang dijaga teman lelakinya hilang.

Berita berkaitan

'Kanak-kanak perempuan 3 tahun hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 10:45 PM