Hadzlihady Hassan


LAPAN pegawai penjara direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima wang rasuah yang dianggarkan bernilai lebih RM120,000.

Turut direman seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pemandu kereta sapu yang didakwa bertindak sebagai orang tengah dalam kes terbabit.

Semua suspek direman mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Perintah tahanan reman di keluarkan Penolong Pendaftar, Muna Maria Azmi di Mahkamah Majistret Georgetown.

Terdahulu, semua pegawai penjara berusia antara 25 tahun hingga 44 tahun tiba di perkarangan mahkamah diiringi anggota SPRM kira-kira 10.30 pagi.

Semua mereka ditahan sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Pahang antara 9.45 hingga 10.30 pagi, semalam.

Turut ditahan seorang pemandu kenderaan warga Indonesia yang berusia 45 tahun.

Siasatan awal mendapati kesemua pegawai penjara terbabit menerima wang suapan daripada pemandu kenderaan terbabit yang bertindak sebagai orang tengah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kemasukan barangan terlarang ke dalam penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 12:41 PM
PEGAWAI SPRM mengiringi lapan pegawai Jabatan Penjara Malaysia dan seorang wanita warga Indonesia untuk direman. FOTO Danial Saad
PEGAWAI SPRM mengiringi lapan pegawai Jabatan Penjara Malaysia dan seorang wanita warga Indonesia untuk direman. FOTO Danial Saad