KETUA Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim menunjukkan lokasi cebisan mayat kanak-kanak perempuan, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, ditemui di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman dan Zuliaty Zulkifli


MAYAT Nur Aisyah Aleya Abdullah dibawa suspek lelaki dalam beg pakaian sebelum dibuang ke gaung di Jalan Gunung Raya, Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia pada 16 Februari lalu.

“Mangsa dilaporkan mengalami sawan ketika berada bersama suspek dan sejurus itu berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya.

“Dalam usaha merawat mangsa, suspek lelaki mendakwa menepuk belakang mangsa beberapa kali sehingga tidak sedarkan diri,” katanya pada sidang media, di Langkawi.

Mohd Iqbal berkata, panik dengan keadaan itu, suspek lelaki memasukkan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia ke dalam beg pakaian.

“Suspek mengaku membuang beg pakaian itu ke dalam gaung. Bagaimanapun polis hanya menemui cebisan rambut dan tengkorak mangsa, hari ini,” katanya.

Terdahulu, sebaik polis menerima laporan ibu mangsa, beliau berkata, polis mengunjungi rumah yang didiami pasangan itu tetapi tidak berpenghuni.

“Pasangan itu dipercayai melarikan diri sejak Jumaat lalu berdasarkan rekod yang diperoleh daripada syarikat pengangkutan.

“Pasangan itu juga turut membuat pertukaran sekolah anak mereka ke Johor, tetapi mereka ditahan di Ampang, Selangor,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang hilang ketika dalam jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi, hujung bulan lalu sudah ditemui di Gunung Raya, Langkawi hari ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kerap dengar tangisan budak

[UPDATE] Panik punca buang mayat

[UPDATE] Hanya cebisan rambut, tengkorak Nur Aisyah

[UPDATE] Mayat Nur Aisyah dah ditemui

Dari Langkawi lari ke Ampang...

'Kanak-kanak perempuan 3 tahun hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 3:29 PM