Jamil (kiri) dan Abdul Razak (dua kiri) pada sidang media selepas menyerahkan memorandum aduan rumah kucing dijadikan Pusat Khidmat DUN Bukit Antarabangsa. FOTO Faiz Anuar


SATU memorandum dihantar sekumpulan aktivis kepada Kerajaan Selangor bagi menggesa diadakan satu pendengaran awam bagi menyiasat kes berkaitan rumah perlindungan kucing terbiar yang siap dibina di Ampang Jaya bakal dijadikan Pejabat Khidmat DUN Bukit Antarabangsa.

Memorandum berkenaan dihantar oleh Otai Reformis 1998 dan Jamil Kucing Cat Rescue (JKCR) kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim, di atas kapasitinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Wakil aktivis, Jamil Ismail berkata, pihaknya menggesa agar pendengaran itu dibuat bagi meminta ketulusan serta penjelasan susulan rumah perlindungan haiwan itu dipercayai akan dijadikan Pejabat Khidmat DUN Bukit Antarabangsa.

“Rumah perlindungan kucing terbiar itu sudah siap dibina, namun apabila menunggu waktu penyerahan kami dimaklumkan ia akan dijadikan pusat khidmat rakyat. Kami agak terkejut dan segera meminta penjelasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“MPAJ kemudiannya memaklumkan kepada kami yang rumah perlindungan kucing terbiar ini mendapat bantahan awam oleh penduduk di situ.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh terima sebab terdapat rumah perlindungan haiwan terbiar yang lain didirikan di situ.

“Sebelum rumah perlindungan kucing terbiar itu dibina pun kita tidak mendapat bantahan daripada penduduk di situ ketika tempoh bantahan dibuka,” katanya.

Jamil berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum di depan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Menurut Jamil, pihaknya menghantar memorandum terbabit bagi menggesa SELCAT menyiasat dan melakukan pendengaran awam mengenai kes ini.

Sementara itu, Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail berkata, premis rumah perlindungan kucing terbiar itu sebelum ini dijadikan Dewan Orang Ramai.

“Dewan itu terbengkalai dan dijadikan sebagai sarang penagih dadah. Oleh itu, JKCR mengambil inisiatif untuk membina tapak rumah perlindungan kucing terbiar bagi menempatkan haiwan itu selepas mendapat kebenaran MPAJ.

“Kami pelik, bagaimana dewan di bawah pihak berkuasa tempatan itu kemudiannya diambil alih serta dijadikan pejabat DUN.

“Setahu saya, setiap DUN diberikan elaun untuk menyewa pejabat mereka sendiri.

“Dahulu, kita bantah UMNO ambil alih bangunan orang ramai untuk dijadikan kegunaan politik. Namun, perkara yang sama ini berlaku dalam kerajaan baharu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, aktivis itu menghantar memorandum kepada Pengerusi Jawatan Kuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bagi menggesa Kerajaan Selangor untuk campur tangan dalam kes itu.

Dalam laporan itu, aktivis itu mendakwa tanah seluas 0.8 hektar di Jalan Kerja Ayer Lama, Ampang Jaya yang sepatutnya dijadikan taman rekreasi kucing akan diambil alih pejabat khidmat DUN tanpa sebarang notis pemberitahuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 4:15 PM