FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli

TINDAKAN seorang wanita warga Thailand memuat naik gambar bogel kenalannya di Facebook bertujuan mengaibkan mangsa membawa padah apabila dia didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Miss Sirirat Pichetwanich, 33, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Mahkamah turut memerintahkan ibu kepada dua anak itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Suri rumah yang sedang mengandung empat bulan itu kemudian membayar denda berkenaan sebaik prosiding tamat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan Facebook dengan nama samaran ‘IamthebonusIamthebonusiamthebonus’ secara sedar memuat naik gambar bogel kenalan wanitanya yang juga warga Thailand dengan kapsyen yang bertujuan untuk mengaibkan wanita itu.

Kesalahan itu dilakukan di Kelab King Way, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, jam 2 pagi, 23 Ogos 2018.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili wanita itu memohon mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan ini adalah kesalahan pertama selain mempunyai dua anak yang masing-masing berusia satu dan empat tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada 23 Ogos tahun lalu jam 3 pagi, mangsa dihubungi oleh rakannya yang memaklumkan ada satu profil akaun Facebook atas nama ‘IamthebonusIamthebonusiamthebonus’ memuat naik gambar bogelnya di situ.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan suami kepada tertuduh memaklumkan pihak berkuasa bahawa akaun Facebook itu milik isterinya sebelum dia ditahan polis.

Siasatan dijalankan mendapati, tertuduh memuat naik gambar bogel mangsa yang terdapat di dalam telefon bimbit suaminya yang juga eksekutif Teknologi Maklumat (IT).

Difahamkan, tertuduh berbuat demikian selepas mendapat tahu mangsa pernah menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 2:52 PM