Rakaman CCTV menunjukkan mangsa diragut dua penjenayah bermotosikal berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Samudra. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


KERANI wanita cedera di tangan selepas diragut dua penjenayah termasuk seorang daripadanya dipercayai wanita berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Samudra di Gombak, hari ini.

Mangsa, Azma Abd Rahman, 53, berkata, dia sedang berjalan menuju ke tempat kerjanya sebelum dihampiri dua individu terbabit yang menaiki sebuah motosikal Yamaha Lagenda dari arah belakang dalam kejadian 8.50 pagi itu.

“Wanita yang membonceng motosikal itu kemudiannya bertindak menarik beg tangan saya dengan kuat sebelum mereka terus memecut motosikal meninggalkan lokasi.

“Kejadian itu menyebabkan tangan kanan saya cedera akibat beg tangan saya direntap dengan kuat,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia kehilangan kad pengenalan, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM1,000.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Batu Caves berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arshad Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Sekyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.

Kejadian menimpa Azma itu tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terbabit yang menunjukkan mangsa diragut dua penjenayah menaiki motosikal dimuat naik di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 9:34 PM