GAMBAR hiasan
Ramli Ibrahim


PENOLONG pegawai Felda maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 49 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Musang, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa Noor Farhan Mohd Noor, 32, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3.

Sementara pemandu Toyota Harrier, Arizan Ismail, 50, yang tinggal di Felda Aring 1 cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Ladang Felda Chiku 1 dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa memandu kereta Honda Civic cuba memotong kenderaan lain, namun gagal sebelum bertembung dengan Toyota Harrier dari arah bertentangan.

“Berikutan pertembungan itu, mangsa yang parah di kepala dikejarkan ke Klinik Kesihatan Chiku 3 sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 11:26 AM