POKOK ganja yang dirampas daripada suspek. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


TINDAKAN lelaki menanam pokok ganja di belakang rumahnya di Kuala Jempol di Jempol, membawa padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kegiatan suspek berusia 48 tahun itu segera menjalankan serbuan di rumahnya, jam 2.30 petang.

Menurutnya, pemeriksaan awal di dalam bilik suspek menemui botol yang diubahsuai dipercayai sebagai alat menghisap dadah.

“Polis kemudian menjalankan pemeriksaan di luar rumah sebelum menemui dua pokok ganja yang ditanam di dalam beg plastik.

“Pokok ganja dengan ketinggian 15 dan 30 sentimeter itu diletakkan di belakang rumah berhampiran reban ayam. Suspek mengaku menanam pokok berkenaan sejak empat bulan lalu, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, suspek turut mendakwa menanam pokok itu untuk kegunaannya sendiri.

Katanya, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah selain pernah menjalani hukuman buang daerah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 12:30 PM