Iskandar Shah Mohamed


SATU sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di Meru, Klang dikesan menggunakan sistem saluran air panas bagi proses pemindahan gas itu.

Difahamkan taktik baharu itu berupaya mempercepatkan tempoh pemindahan gas bersubsidi itu ke dalam tong gas industri berbanding menggunakan sistem ais biasa.

Selain itu, operasi sindiket sejak enam bulan lalu itu turut berselindung di sebalik bangunan kilang lama yang disewa bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Kegiatan haram itu bagaimanapun terbongkar apabila diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, 2.30 petang semalam sekali gus merampas ratusan tong gas berkapasiti 14 kilogram dan 50 kilogram.

Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Basharuddin Mohiyuddin berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak dua minggu lalu.

“Ketika serbuan, dua pekerja lelaki berusia 30-an sedang melakukan proses decanting atau pemindahan gas bersubsidi ke dalam tong gas industri.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian merampas sebanyak 44 tong LPG 50 kilogram dan lebih 400 tong LPG 14 kilogram serta dua lori,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.


BASARUDDIN memeriksa tong LPG yang dirampas dalam operasi membanteras penyelewengan barang kawalan di Jalan Teruntum 12, Meru, Klang. FOTO Saddam Yusoff

Turut dirampas peralatan seperti alat penimbang, hos getah penyambung dan salur paip membabitkan nilai keseluruhan rampasan hampir RM135,000.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut Basharuddin, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket itu membeli tong LPG domestik untuk dikumpul di premis berkenaan sebelum gas itu dipindahkan ke dalam tong LPG industri.

“Selain itu, mereka menggunakan teknik memindahkan gas dari silinder domestik ke tong industri menggunakan saluran air panas bagi mempercepatkan proses pemindahan.

“Sindiket itu dikatakan mampu mengaut keuntungan mudah kerana kebiasaannya akan menjual tong LPG industri itu lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 2:43 PM